Sabtu, Mei 24, 2008

Pengantin kanak-kanak Afghan


Di saat dunia sedang ghairah mencipta berbagai kemajuan, negara umat Islam sentiasa akan berada dalam senarai negara paling mundur...Dan biasanya yang menerima akibat ialah kaum wanita. Sedih membaca berita nasib kanak-kanak perempuan Afghan bertajuk ""Pengantin kanak-kanak Afghanistan" ini (dipetik Berita Harian Mei 2008):

BADAKHSHAN menjadi antara kawasan paling ramai didiami pengantin muda iaitu kanak-kanak semuda 10 tahun. Ibu bapa miskin Badakhshan jual anak perempuan semuda 10 tahun BADAKHSHAN, satu wilayah pedalaman Afghanistan kini berdepan satu fenomena yang semakin ketara dan membimbangkan - meningkatnya bilangan pengantin kanak-kanak dan ibu muda seawal 10 tahun berikutan kesempitan hidup ibu bapa mereka. Fenomena sedih yang menyebabkan Badakhshan disenaraikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai antara kawasan mencatatkan kematian wanita ketika bersalin yang tertinggi di dunia, majoritinya membabitkan mereka berusia bawah 15 tahun.
Statistik Tabung Penduduk PBB (UNFPA) mendakwa sejumlah 6,500 kematian dicatatkan bagi setiap 100,000 kelahiran di sini, setiap tahun. Tubuh mereka yang masih kecil, baru akil baligh dan kemudian dipaksa menjadi ibu muda terbukti mendatangkan kesengsaraan dan seterusnya mengundang maut. Akibatnya, Badakhshan, wilayah yang terletak jauh di pedalaman sehinggakan untuk ke sana memakan masa dua minggu dengan menaiki keldai, menjadi antara lubuk yang menyaksikan ramai wanitanya meninggal dunia pada usia muda.