Utusan Malaysia Online - KeluargaSemangat Imtinan kekuatan Muna ’Izzah
Oleh BINTU RASYADA A. RAHMANbintu.rahman@utusan.com.my
CIUMAN istimewa seorang ibu untuk buah hatinya.
TIADA yang lebih diinginkan seorang ibu terhadap anaknya melainkan melihat mereka membesar dengan sempurna seperti insan lain.
Begitu yang dirasakan Muna ’Izzah Fadzil terhadap anak keduanya, Nur Imtinan Aishah Ahmad Sabki yang kini berusia sembilan tahun.
Bagi ibu kepada tiga anak ini, semangat Imtinan menjadi sumber kekuatan jiwanya apatah lagi mengenangkan anak itu diberi keistimewaan berbanding anak-anak yang lain.
Imtinan atau mesra dipanggil ‘adik’ didiagnos mengalami cerebral palsy (CP). Keadaan itu berpunca daripada kelemahan saraf tunjang akibat kecederaan otak yang menyebabkan sistem saraf tunjang berkaitan pergerakan tubuh, pertuturan, sistem pemakanan dan lain-lain menjadi lemah serta tidak berkembang dengan normal.
“Imtinan lahir seperti bayi normal yang lain. Cuma bila usianya satu tahun, dia masih belum boleh merangkak, bertutur dan sebagainya. Perkembangannya juga tidak sama seperti abangnya, Ahmad Al-‘Izz,” kata Muna ’Izzah.
Risau dengan tumbesaran Imtinan yang berbeza, ibu tabah itu membawa anak kesayangannya mendapatkan rawatan seperti berurut dan sebagainya, namun masalah sebenar masih tidak dapat dipastikan.
Pelbagai rawatan dicuba tetapi hasilnya kurang memberangsangkan. Sehinggalah akhirnya mereka bertemu dengan seorang doktor pakar yang berjaya mengenalpasti masalah Imtinan dan merujuk kes anak istimewa itu kepada seorang pakar terapi.
“Bila usianya hampir tiga tahun barulah kami mendapatkan terapi yang sesuai untuk Imtinan. Selain terapi biasa, Imtinan menjalani latihan berenang yang banyak membantu pergerakannya kini. Malah kami turut menyediakan sebuah kolam untuk dia menjalani latihan setiap hari,” kata beliau.
Terapi demi terapi yang diikuti, perkembangan Imtinan menunjukkan peningkatan positif. Pada usia enam tahun, dia sudah boleh merangkak, bertutur perlahan-lahan dan sistem penghadamannya juga menunjukkan peningkatan.
Kalau dulu roti pun tidak mampu dikunyah, kini Imtinan sudah boleh menikmati pelbagai jenis makanan dan selera makannya juga bertambah. Malah anak kecil itu juga sudah boleh berjalan perlahan-lahan dengan bantuan alat khas.
Bagi Muna’Izzah, pencapaian cahaya mata istimewa itu sangat menggembirakan apatah lagi dia kini lebih berdikari. Menurutnya, jika mereka sekeluarga keluar membeli-belah, Imtinan akan berdiri dan memilih sendiri barang yang diingini tanpa bantuan ibu atau bapanya.
Imtinan katanya, benar-benar anak yang kuat dan tabah. Sekali pun sakit, dia tidak akan merengek malah seringkali menegaskan bahawa dia sihat.
“Tambahan pula dengan kehadiran adiknya, Ahmad Amir Ziyad yang kini berusia 10 bulan, Imtinan lebih berdikari dan kami dapat lihat bagaimana dia sudah menjadi kakak yang bertanggungjawab,” katanya.
Selain gembira dengan perkembangan positif Imtinan, ibu berusia 36 tahun itu juga bersyukur kerana keputusannya melepaskan jawatan dengan sebuah syarikat ternama dua tahun lalu memberi hikmah yang bukan sedikit.
Katanya, semua yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri dan sebagai ibu, dia hanya inginkan yang terbaik untuk anak-anak.
Muna ‘Izzah turut menasihatkan ibu-ibu yang mempunyai anak istimewa sepertinya agar merujuk ke tempat yang sepatutnya dan tidak jemu mendapatkan rawatan yang terbaik.
Masyarakat juga katanya patut mengubah persepsi mengenai anak-anak istimewa dengan menganggap mereka sebahagian daripada hidup.
“Adakalanya ketika berada di tempat awam, orang akan memandang kami dengan pandangan yang semacam. Saya pernah terfikir untuk berhijrah ke negara Eropah kerana merasakan masyarakat di sana lebih terbuka dengan anak istimewa sebegini. Namun bila difikirkan pelbagai perkara, mengapa saya harus melarikan diri. Imtinan adalah kekuatan dan kesabaran saya selain keluarga dan juga Allah SWT,” katanya mengakhiri perbualan.